Monday 4 February 2013

Avon hargai wanita gigih


 MANSOOR bersama Poh Yen (kiri) dan Sharmila. 

BAGI seorang wanita yang ingin mempunyai kehidupan seimbang dalam kerjaya dan rumah tangga, Sharmila Ismail, 35, adalah contoh yang baik untuk diikuti. Dia bukan sahaja mempunyai perniagaan yang berjaya malah dapat menghabiskan banyak masa bersama keluarga.

Ibu kepada empat anak itu asalnya hanyalah seorang pembantu kedai kasut sebelum bertukar kerja beberapa kali dan akhirnya membuat keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa. Dia juga membuat keputusan untuk menceburi bidang kecantikan.

“Pada masa itu, saya hanya memikirkan untuk mempunyai kerjaya yang dapat membantu meringankan beban keluarga dan pada masa sama dapat memberikan perhatian kepada keluarga.
“Berkat kesungguhan saya menjual produk ini, saya berjaya mencapai jualan sehingga RM350,000 tahun lalu. Ia adalah jumlah tertinggi yang pernah saya peroleh,” katanya pada sambutan 125 tahun Avon di ibu pejabat Avon baru-baru ini.

Menurut Sharmila, dia berusaha bersungguh-sungguh mendalami selok belok perniagaan dan mengumpul downline untuk mencapai matlamatnya menjadi antara wakil Avon terbaik.
“Berkat perniagaan ini, saya berpeluang mengunjungi beberapa buah negara yang selama ini hanya dapat saya bayangkan dalam mimpi.

“Negara yang pernah saya kunjungi antaranya Britain, Perancis, Jepun dan Turki serta bakal ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, pada majlis tersebut, para jemputan media disambut warga kerja Avon dan juga wakil Avon yang tampil dengan penampilan ala zaman 1880.

Acara diikuti dengan sesi lawatan media ke kilang, kawasan pengangkutan, bahagian pemasaran dan bahagian jualan Avon.

Takdir bertukar
Sementara itu, turut dianugerahkan kejayaan sama, Kam Poh Yen, 40 yang memberitahu, perniagaan Avon telah mengubah kehidupannya yang serba kekurangan kepada serba mewah hasil kesungguhan menjual produk bersama kumpulannya.

“Sebelum menjalankan perniagaan ini, saya hanya memiliki motosikal buruk tetapi kini saya memiliki sebuah banglo dan dua buah kereta mewah.

“Menerusi peluang yang Avon berikan menerusi pinjaman tanpa cagaran, saya memanfaatkan sepenuhnya kredit yang diberi,” katanya yang berjaya menjual barangan Avon sebanyak RM1.2 juta bersama kumpulannya tahun lalu.

Menurut Poh Yen, dia bekerja keras untuk mencapai apa yang dia miliki kini. Dia memanfaatkan peluang yang diberikan Avon dan mengikuti latihan-latihan yang dijalankan bagi memantapkan perniagaannya.

“Atas bimbingan yang diberikan, saya semakin bersemangat untuk bekerja keras dan tidak berputus asa dengan mudah. Suami juga menyokong kerjaya saya dan banyak membantu saya dalam mengembangkan perniagaan ini,” katanya yang berpeluang bercuti ke Switzerland dan bakal ke New Zealand pada tahun ini.

Dalam pada itu, Presiden Avon Malaysia, Mansoor Wan Abdullah berkata, Avon kini mempunyai kira-kira 450,000 wakil penjual Avon dan 180 rangkaian butik francais di seluruh negara.
“Sebagai syarikat jualan langsung barangan kecantikan yang terbesar di dunia, Avon bukan sahaja mencantikkan kaum wanita tetapi juga memberi peluang pendapatan kepada ramai wanita menjalankan perniagaan.

“Avon turut memberi suntikan modal sehingga RM70,000 untuk memulakan perniagaan. Ia menjadi pemangkin kepada ramai wanita untuk menjana pendapatan lebih bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Turut hadir ialah duta-duta Avon iaitu pengacara TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain yang mewakili duta alat mekap Avon Color dan pelakon terkenal, Nor Fazura Sharifuddin yang menjadi duta haruman Avon.

No comments:

Post a Comment