Monday 8 April 2013

Kukuhkan Empayar Avon : Aspalin Haji Sirat

Usaha AVON untuk mengukuhkan empayar kian kukuh bersama individu yang bertungkus-lumus menjayakannya. Nona berkesempatan menemui Pengarah PemasaranKomersial AVON Malaysia, Aspalin Haji Sirat yang menjadi antara orang terpenting dalam syarikat tersebut. Pada awalnya, pelbagai halangan mematahkan niat kami untuk bertemu empat mata, namun kerana komitmen tugas, beliau tetap sudi ditemu bual biarpun hanya sekadar berbalas e-mel.
 
Mula menyertai AVON semenjak dua dekad yang lalu, Aspalin sentiasa bercita-cita untuk membantu lebih ramai lagi wanita agar berjaya. Ketika ditanya tentang sejarah perkhidmatan beliau, Aspalin tidak keberatan membuka kisahnya sepanjang 20 tahun mencurahkan bakti.
 
“Segala-galanya bermula ketika saya baru bergelar graduan Universiti dan berkhidmat sebagai Pengurus Jualan. Bermula di bahagian Jualan selama satu tahun setengah, saya kemudiannya berpindah ke bahagian Pemasaran bermula dengan produk untuk seisi rumah – Beautifront dan seterusnya ke bahagian Kosmetik, Aksesori, Barangan Kesihatan serta Bahagian Beauty Plus,” cerita pemegang ijazah BSc in Business Administration – Marketing di University of Pacific, Stockton, California, Amerika Syarikat tersebut.
 
Melihatkan kesungguhan dan kredibiliti Aspalin dalam membangunkan prestasi sesebuah bahagian yang diterajuinya, pihak AVON tidak teragak-agak untuk memberi kepercayaan kepada beliau untuk menerajui pasaran AVON di Vietnam. “Kemuncak kerjaya saya ialah apabila dihantar ke Vietnam selama dua tahun serta membimbing rakyat tempatan di sana tentang pemasaran. Namun pada awalnya tidak mudah juga kerana pelbagai rintangan perlu diatasi untuk berada di posisi kini,” tutur Aspalin tanpa berselindung.
 
Ibarat pepatah, genggam bara api biar sampai menjadi arang, begitulah sikap Aspalin sewaktu diuji dengan cabaran di negara orang. “Sewaktu mula-mula menjalankan tugas di Vietnam, ramai staf berhenti dan yang tinggal pun hanya dua orang. Walaupun tekanan amat terasa, tetapi dengan memastikan tindakan segera bersama bahagian Sumber Manusia serta berkampung di sana, perkara tersebut berjaya diatasi. Akhirnya dalam tempoh dua tahun, AVON Vietnam berjaya meningkatkan jualan serta memperoleh keuntungan seperti yang kami sasarkan,” katanya sambil tersenyum puas.
 
Ikuti kisah kejayaan Aspalin dalam NONA keluaran April 2013..

http://nona.karangkraf.com/personaliti/wanita-cemerlang/kukuhkan-empayar-avon-aspalin-haji-sirat-1.147913