Friday 22 November 2013

Jual produk Avon sara pengajian anak

AINI cuma bermodalkan RM500 semasa mula berniaga produk Avon.

MENDEKATI wanita kelahiran Sungai Petani, Kedah ini sungguh tidak menyangka bahawa umurnya sudah menjangkau 56 tahun. Ini disebabkan fizikalnya yang sihat dan cergas selain mudah melontarkan senyuman.

Bagi Aini Abdul Aziz, jenama Avon tidak asing buat dirinya kerana beliau selalu mendengarnya sejak kecil.

Namun, tidak pernah pula terlintas di fikirannya untuk menyertai Avon.

Bagaimanapun, selepas melihat berita kejayaan wanita-wanita Avon melalui akhbar dan majalah, minatnya terhadap produk itu tiba-tiba muncul.

“Kebetulan pada masa itu saya perlu menanggung enam orang anak yang sedang belajar. Suami pula sudah pencen. Jadi, saya tekad menyertai Avon.

“Empat orang anak belajar di universiti dan saya perlu memberikan wang saku sebanyak RM200 seminggu kepada setiap seorang.

“Jadi, setiap minggu saya perlu menyediakan RM800,” katanya yang mempunyai empat anak lelaki dan dua perempuan berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Tambah Aini, beliau perlu melakukan sesuatu supaya pengajian anak-anaknya tidak terjejas.

“Alhamdulillah, saya mampu menghantar tiga orang anak saya ke Universiti Teknologi Malaysia dan seorang lagi di Universiti Teknologi Mara hasil jualan produk Avon.

“Bagi memulakan perniagaan, modal yang diperlukan tidaklah besar. Malah, Avon turut memberikan pinjaman,” katanya yang cuma bermodalkan RM500 untuk mula berniaga.

Aini memberitahu, kehidupannya sebelum menyertai syarikat itu agak susah. Beliau pernah terlibat dalam perniagaan syarikat pemasaran pelbagai peringkat tetapi sering mengalami masalah kewangan.
“Ketika itu untuk bayar duit ansuran bulanan kereta pun susah apatah lagi mahu menyediakan wang pedidikan anak-anak.

“Sebaliknya, produk Avon lebih mudah untuk dijual kerana jenama itu sudah dikenali ramai.

USAHAWAN Avon. Aini (tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan wakil-wakil pengedar Avon di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Pada masa yang sama, kami dapat banyak sokongan daripada syarikat Avon sendiri,” jelasnya.
Mengapa Avon? Aini memberitahu, selain jenama, Avon memberi peluang kepada mereka yang mahukan pendapatan lumayan.

Memegang teguh prinsip mahu membantu orang lain untuk maju dan dalam masa yang sama memajukan diri sendiri, Aini turut mengajak rakan-rakan lain untuk berjaya sepertinya.

Berjumpa dan melatih barisan pelapis menjadi rutin hariannya. Aini tidak lokek berkongsi ilmu, memberi motivasi tentang promosi jualan dan membimbing mereka supaya meningkatkan status dalam Sales Leadership.

Atas pencapaian cemerlangnya, Aini pernah dibawa Avon melancong ke Bali, Indonesia dan Las Vegas, Amerika Syarikat.
 
Beliau juga muncul dalam kalangan 10 Sales Leader Terbaik Avon tahun lalu.

Kini, Aini mempunyai lapan Senior Executive Sales Leader dan lima Executive Sales Leader di bawah kumpulan jualannya.

“Saya semakin bersemangat kerana suami saya, Yusari Maslan, 59, sentiasa menyokong penglibatan saya bersama Avon lebih-lebih lagi dia turut meminati bidang perniagaan.

“Walaupun sudah berusia, kami masih bergerak aktif. Jadi, suka saya nasihatkan mereka yang sudah pencen di luar sana supaya aktif berniaga dengan Avon. Sekurang-kurangnya ia dapat menambah pendapatan,” katanya. 
 
Aini yang dinobatkan sebagai Sales Leader ketiga negara memberitahu, tanpa sokongan dan kerjasama daripada kumpulan bawahannya, tidak mungkin beliau berjaya seperti hari ini.

Walaupun sudah berjaya, Aini tetap berusaha membantu anak-anak buah untuk turut sama mengikut jejak langkahnya.

Malah, beliau menggalakkan wanita yang memegang status ibu tunggal supaya melibatkan diri dengan Avon kerana ia dapat mengubah hidup mereka.